Malang tidak berbau – merupakan kiasan yang menggambarkan kejadian kemalangan terutamanya di jalan raya. Kemalangan jalan raya bukanlah perkara yang dirancang atau dijangka tetapi kebarangkalian kemalangan itu berlaku tidak boleh diduga sama sekali.
Setiap kali, pihak yang terlibat di dalam suatu kemalangan di jalan raya pasti berada dalam keadaan terkejut. Dalam keadaan kecemasan tersebut amat penting untuk pihak yang terlibat itu menenangkan diri terlebih dahulu dan memastikan tiada kecederaan serius yang dialami serta keadaan persekitaran mereka adalah selamat. Setelah itu, adalah wajar bagi pihak yang terlibat itu mengumpul maklumat yang perlu untuk merekodkan kemalangan itu bagi tujuan rujukan kemudian. Pemgumpulan maklumat ini juga bagi tujuan memastikan pampasan dapat diterima bagi kerosakan motokar dan kecederaan peribadi yang dialami akibat kemalangan itu. Beberapa perkara awalan (preliminary) perlu dilakukan adalah seperti berikut:
Catatkan ditelefon atau pada kertas perkara-perkara yang diingati sejurus sebelum kemalangan. Maklumat ini penting kerana masih segar dan ingatan tidak terjejas dengan dengan urusan-urusan lain selepas kemalangan misalnya penundaan kereta, menghubungi pihak insurans, mendapatkan pemeriksaan kesihatan di klinik atau mendapatkan cuti sakit untuk tempat kerja. Antara catatan yang penting adalah nombor kenderaan-kenderaan yang terlibat, masa kejadian atau anggaran terdekat serta butiran berkenaan kenderaan yang terlibat misalnya, pemandu, bangsa, warna kenderaan dan sekiranya terdapat penumpang. Rekod catatan itu juga boleh digunakan sebagai bukti sekiranya terpaksa memfailkan kes di Mahkamah kelak.
Sering kali, pihak-pihak yang terlibat di dalam suatu kemalangan jalan raya akan didatangi oleh pihak ketiga yang meminta tandatangan mangsa untuk pelbagai tujuan. Dalam keadaan ini, mangsa akan berkemungkinan gagal mendapatkan sebarang penjelasan daripada pihak ketiga tersebut.
Harus diingati bahawa pihak-pihak yang terlibat di dalam suatu kemalangan jalan raya tidak perlu menandatangani apa-apa dokumen oleh pihak ketiga sama ada di tempat kemalangan mahupun di hospital. Ini lebih-lebih lagi sekiranya tiada apa-apa terpapar pada dokumen itu.
Pada dasarnya, tidak ada kewajipan terhadap pihak-pihak yang terlibat di dalam kemalangan untuk melantik peguamcara atau wakil kereta-kereta tunda tertentu semasa di tempat kejadian atau semasa dimasukkan ke dalam hospital. Kesan menandatangan dokumen tersebut boleh menyebabkan mangsa tanpa sedar bersetuju kepada sama ada untuk membayar fi penundaan yang amat tinggi, membaiki motorkar di sebuah bengkel yang tidak bertauliah, mempunyai kelulusan badan yang relevan dan tidak mempunyai kepakaran yang perlu atau perlantikan agen untuk menguruskan tuntutan pampasan mangsa bagi yang mana akan terdapat fi agen yang harus ditanggung oleh mangsa di kemudian hari.
Pihak-pihak yang terlibat di dalam suatu kemalangan jalan raya tidak membuat sebarang kesalahan dari segi undang-undang sekiranya menolak daripada menandatangani dokumen-dokumen yang menawarkan khidmat penyelaras kemalangan, peguamcara, peminjam wang untuk rawatan atau khidmat pembaikan motorkar dibengkel-bengkel kereta tertentu.
Keputusan-keputusan tersebut pada setiap masa adalah khusus dan esklusif keputusan peribadi pihak yang terkesan dan sewajarnya keputusan-keputusan itu dibuat setelah diberi masa dan peluang membuat pertimbangan-pertimbangan yang wajar.
Had masa – had masa yang perlu diambil kira pihak-pihak yang terlibat di dalam suatu kemalangan jalan raya adalah yang berikut:
Secara lazimnya, pihak polis akan menggunakan format yang sama bagi pengenalan pihak dan kenderaan yang terlibat, lokasi kemalangan dan juga kerosakkan pada kenderaan.
Wajar diingat bahawa fakta di dalam laporan polis yang dibuat haruslah versi mangsa atau pelapor sendiri dan bukan daripada pihak polis. Sehubungan dengan itu, fakta-fakta kemalangan tersebut haruslah lengkap dan sekiranya terdapat kesilapan, laporan pembetulan harus dibuat sejurus menyedari kesilapan itu. Fakta yang diberikan kepada pihak polis juga haruslah berdasarkan kepada ingatan mangsa dan bukan fakta yang diubah, ditambah atau digubal semata-mata untuk memperkasakan tuntutan pampasan pelapor.
Kesilapan, percanggahan dan kekurangan fakta akan menyebabkan kredibititi dan ketepan laporan itu dan pelapor disangsi dan diragui. Adalah dinasihatkan bahawa konsistensi versi yang diingat atau dilihat itu juga boleh ditingkatkan dengan memastikan bahawa laporan polis dibuat oleh semua pihak yang terlibat iatu pemandu dan juga penumpang dan bagi kes melibatkan motorsikal, oleh penunggang dan pembonceng.
Ketepatan dan konsistensi laporan polis boleh mengurangkan dan menipiskan kemungkinan tuntutan yang dibawa oleh pihak yang mengalami kehilangan dan kecederaan terhadap pihak insuran ditolak atau dikurangkan semasa perbincangan dan rundingan untuk pampasan dengan pihak insuran atau peguamcaranya.
Selain laporan polis yang dibuat, bagi menyiasat kesahihan suatu tuntutan oleh mangsa kemalangan bagi pampasan, pihak penginsuran motorkar juga akan mengambil kira keputusan penyiasatan yang dibuat oleh pihak polis. Oleh itu, adalah penting untuk menyerahkan kepada pihak polis sebarang bahan bukti yang ada, terutamanya rakaman seperti dashcam, gambar daripada telefon bimbit atau catitan yang dibuat.
Pihak yang melaporkan kejadian tersebut juga harus memohon untuk berjumpa dengan pegawai penyiasat untuk suatu kenyataan lisan diambil daripada pelapor agar pegawai penyiasat mendapat maklumat dan fakta yang perlu daripada pelapor sendiri untuk membantu penyiasatan dan keputusan yang akan dikeluarkan oleh pihak polis. Pelapor juga boleh, sekiranya diminta, menemani pihak polis ke tempat kejadian untuk menjelaskan versi kemalangan berdasarkan ingatan pelapor. Penyiasatan yang menyeluruh oleh pihak polis boleh membantu dalam memperkukuhkan keputusan penyiasatan pihak polis sekaligus tuntutan pampasan mangsa di kemudian hari.
Oleh itu, adalah amat penting untuk pihak pelapor hadir semasa dipanggil oleh pegawai penyiasat dan tidak mengelak atau gagal hadir semasa temu-ramah yang ditetapkan oleh pegawai penyiasat berdasarkan kepada laporan polis yang dilaporkan oleh pengadu. Pastikan bahawa rakaman percakapan yang dibuat itu, sekiranya ada, ditaipkan dan salinan yang dicetak diberikan kepada pengadu untuk disahkan kandungnya tepat sebelum ditandatangan oleh pengadu.
Sebelum memulakan proses tuntutan, pihak-pihak yang terlibat di dalam suatu kemalangan jalan raya harus memastikan untuk mendapatkan laporan-laporan polis yang berkait, gambar-gambar polis, lakaran tempat kejadian yang dibuat oleh polis dan keputusan yang dikeluarkan oleh polis. Seterusnya, pihak yang menuntut perlu membuat carian untuk mendapatkan butiran penginsuran kenderaan yang didapati bersalah untuk memenuhi peruntukan di bawah seksyen 96 Akta Pengangkutan Jalan 1987. Proses tuntutan boleh diteruskan dengan dokumen sokongan yang diminta oleh penginsuran kenderaan pesalah dan sekiranya terpaksa memulakan saman di Mahkamah, adalah bermanfaat untuk mendapatkan khidmat dan nasihat peguam dengan awal.
Messrs Rajasekaran is a boutique Firm that believes in maintaining quality over quantity and staying in line with the ethos of growing an elitist legal practice.
Copyright © 2025 All Rights Reserved.